Perancangan
keluarga perlu bagi setiap pasangan supaya setiap kehamilan itu
dihargai. Perancangan keluarga perlu untuk menjarakkan anak, supaya ibu
dapat pulih sepenuhnya.Sekiranya ada luka jahit sewaktu bersalin, luka dapat
pulih dengan sempurna. Ia juga dapat menggalakkan penyusuan susu ibu
yang lebih lama dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak.
Kebanyakan wanita
keliru dengan kaedah untuk merancang keluarga.Sekiranya ujian air kencing
menunjukkan hamil, sudah terlambat untuk melakukan kaedah perancangan keluarga.
Berikut, merupakan
antara kaedah yang kerap digunakan.Sila pastikan anda memahami setiap kaedah
dan risikonya sebelum membuat keputusan.
IMPLAN (IMPLANON)
Implan merupakan
kaedah perancangan keluarga untuk jangka masa panjang. Ia berbentuk
seperti lidi yang dipasang di bawah kulit pada lengan anda.
Implan (implanon)
berkesan mencegah kehamilan selama 3 tahun.
Implan mengandungi
hormon progesteron yang mengeluarkan hormon secara berterusan dan menghalang pengeluaran
telur. Ia juga menghalang sperma memasuki rahim dengan menukar lendir
pada serviks. Perlindungan kehamilan bermula dari hari pemasangan.
Bagaimana implan dipasang?
Doktor akan menjalankan
ujian ginekologi termasuk pemeriksaan payudara, pap smear dan ujian kehamilan
sebelum memasang implan. Ubat bius akan diberi di tempat pemasangan
dan diikuti dengan pemasangan implan. Bahagian lengan akan dibalut
untuk mengurangkan risiko lebam. Anda boleh membuka balutan selepas 24 jam. Kebiasaannya,
implan akan dipasang antara hari pertama dan kelima haid.
Kesan sampingan implan
Antaranya ialah
jerawat, pening kepala, pertambahan berat badan, sengal payudara. Kesan
sampingan yang jarang berlaku termasuk rambut gugur, perubahan emosi, perubahan
nafsu seks, sakit perut dan senggugut. Implan akanmempengaruhi
kitaran haid; kitaran haid tidak menentu atau tiada haid.
Pengeluaran implan
Ubat
bius akan diberi sebelum insisi dibuat. Selepas implan dikeluarkan,
luka akan dibalut.
Sekiranya anda
ingin hamil semula, implan akan dikeluarkan dan kesuburan akan
kembali semula selepas satu bulan.
Implan tidak
memberi kesan ke atas penyusuan bayi.
Implan tidak
melindungi anda dari jangkitan kelamin.
IUCD Multiload Cu250 atau Cu375
IUCD atau
"intrauterine contraceptive device" ialah alat yang dimasukkan ke
dalam rahim untuk mencegah kehamilan. Alat ini tidak mengandungi sebarang
hormon, dan merupakan segelung wayar kuprum yang bertali.
Waktu paling optima
untuk memasukkan alat ini ialah hari terakhir haid.Ia juga boleh dimasukkan
selepas keguguran atau bersalin.
Kelebihan IUCD
o Efektif,
kesuburan boleh dikembalikan serta-merta selepas IUCD dikeluarkan, sesuai untuk
jangkamasa yang panjang
o Tidak
mengganggu penyusuan bayi
o Sesuai jika
ada penyakit darah tinggi
o Tiada kesan
negatif hormon seperti pertambahan berat badan, sakit kepala
Prosedur memasukkan IUCD
Sebelum IUCD
dimasukkan, doktor akan melakukan pemeriksaan vagina untuk memastikan
kedudukan rahim. Doktor akan memasukkan spekulum untuk melihat
servik. Servik dan vagina akan dicuci dengan antiseptik.
Doktor akan mengukur saiz rahim sebelum memasukkan IUCD. Anda
mungkin akan merasa tidak selesa sewaktu IUCD dimasukkan. Selepas
IUCD dimasukkan, doktor akanmemotong benang 2-3cm daripada servik.
Pemeriksaan ultrasound akan dilakukan untuk menentukan kedudukan
IUCD.
Anda akan mengalami
sedikit pendarahan selepas IUCD dimasukkan. Anda juga akan mengalami
sakit pada bahagian ari-ari selepas IUCD dimasukkan.
Anda mesti berjumpa
dengan doktor jika:
o Haid lambat
2 minggu atau tiada haid
o Tidak dapat
merasa benang atau dapat merasa bahagian plastik yang keras di dalam faraj
o Pendarahan
yang banyak atau pendarahan selepas melakukan hubungan seks
o Senggugut
atau sakit sewaktu melakukan hubungan seks
o Sakit ari-ari,
sakit di hujung bahu, demam melebihi 38 darjah Celsius, pening, pengsan,
lelehan faraj yang tidak normal
Anda dinasihatkan
menukar IUCD setiap 3 tahun (bagi Multiload Cu250) dan 5 tahun (bagi Multiload
Cu375)
Prosedur mengeluarkan IUCD
Untuk mengeluarkan
IUCD, anda mesti berjumpa dengan doktor.Prosedurnya seperti memasukkan
IUCD. Jika benang IUCD tidak dapat dilihat di dalam faraj,
anda akan dirujuk kepada pakar ginekologi untuk mengeluarkan IUCD
selepas dibius.
Apabila menggunakan
IUCD, risiko untuk mengandung masih ada. Jika anda disahkan mengandung,
IUCD akandikeluarkan dan boleh menyebabkan keguguran. Jika anda tidak
mahu mengeluarkan IUCD, anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan kuman pada
bahagian pelvis.
Walaupun IUCD mampu
mencegah kehamilan di dalam rahim, ia tidak dapat mencegah kehamilan
di luar rahim.
IUCD Mirena
IUCD Mirena
merupakan alat merancang kehamilan seperti Multiload Cu250 atau Cu375
tetapi ia mengandungi hormon.Sekiranya anda mengalami haid yang
berlebihan, IUCD Mirena dapat mengurangkan pendarahan sambil mencegah kehamilan.
PIL PERANCANG NORIDAY
Noriday ialah pil
perancang yang mengandungi hormon progestin sahaja.
Bagaimana kehamilan dicegah?
Pil perancang ini
mencegah kehamilan dengan cara menukar lelehan di bahagian serviks
supaya sperma tidak dapat melepasinya. Ia juga menukar dinding rahim
supaya telur yang telah disenyawakan tidak dapat melekat pada dinding rahim.
Cara pengambilan pil Noriday
Mula makan Noriday
pada hari pertama haid sehingga habis pek. Ambil pil pada masa yang sama setiap
hari.
Pada permulaan
mengambil pil Noriday, pencegahan kehamilan alternatif mesti diambil 14 hari
yang pertama.
Selepas habis pek
pertama, anda perlu meneruskan dengan pek kedua tanpa berhenti, tidak kira jika
ada haid atau tidak.
Haid tidak teratur
Kemungkinan haid
tidak teratur akan berlaku dengan pengambilan pil Noriday.
Kebiasaannya ia berlaku pada bulan-bulan awal sahaja. Anda
dinasihatkan supaya tidak berhenti pil tersebut. Sila berjumpa dengan
doktor jika tiada haid selama 6 minggu.
Anda diingatkan
supaya mengambil pil pada masa yang samasetiap hari. Jika terlupa
mengambilnya berbincanglah dengan doktor anda berkenaan langkah yang patut
diambil.
Muntah dan
cirit-birit akan mengurangkan penyerapan pil dalam perut. Anda
dinasihatkan meneruskan pil perancang dan menggunakan caraalternatif
selama 14 hari.
Pil
perancang akan berinteraksi dengan antibiotik, ubat sawan, ubat tidur
dan ubat arthritis. Pastikan anda memberitahu doktor jika anda mengambil
pil perancang.
Anda tidak boleh
mengambil pil perancang jika ada penyakit kuning, gatal atau kuning ketika
mengandung, pendarahan vagina yang tidak normal, penyakit hati, penyakit darah
beku (angin ahmar, serangan jantung, paru-paru).
Pil perancang boleh
menyebabkan darah tinggi pada sesetengah wanita.
Amaran
Anda dinasihatkan
supaya berhenti mengambil pil perancang serta-merta dan berjumpa dengan doktor
jika:
o Sakit dada,
batuk berdarah dan sesak nafas
o Sakit dan
bengkak urat kaki
o Sakit dada
yang melampau
o Sakit
kepala, muntah, pening, pengsan, masalah penglihatan atau pertuturan, lemah
tangan atau kaki
o Ketulan pada
buah dada
o Sakit pada
bahagian perut
Jika anda ingin
mengandung semula, berhenti pil perancang dan gunakan cara mekanikal
(seperti kondom) selama tiga bulan sebelum merancang untuk hamil.
Anda dinasihatkan
supaya berjumpa dengan doktor untuk memastikancara merancang keluarga yang
sesuai untuk anda. Oleh kerana Pil Noriday boleh memudaratkan jika
disalahgunakan, ia merupakan ubat preskripsi oleh doktor sahaja.
Sila pastikan anda melakukan
pemeriksaan tekanan darah, payu darasetiap bulan dan pemeriksaan
pangkal rahim (papsmear) setiap tahun.
SUNTIKAN DEPO
Salah
satu cara untuk merancang keluarga ialah melalui suntikan
depo.Suntikan depo mengandungi hormon progesteron sahaja. Suntikan depo
menukar lendir pada serviks yang menghalang sperma menembusinya.Keadaan hormon
yang tinggi juga menyebabkan tiada telur dikeluarkan.
Sebelum diberi
suntikan, anda akan diperiksa terlebih dahulu, termasuk pemeriksaan
ginekologi dan payudara. Selepas memastikan anda tidak hamil,
suntikan akan diberi pada bahagian punggung.
Kekerapan suntikan
Suntikan
pertama akan diberi pada hari pertama ke hari kelima haid. Selepas
itu, anda akan diberi suntikan setiap 3 bulan.
Suntikan depo boleh
menyebabkan haid tidak menentu atau tiada haid.Ia juga boleh menyebabkan
penambahan berat badan, sakit kepala dan mual.
Anda tidak boleh
menggunakan suntikan depo jika ada penyakit seperti di bawah:
o Darah tinggi
o Penyakit
hati
o Herpes
sewaktu hamil
o Sakit kuning
o Gatal
sewaktu hamil
o Angin ahmar
o Sakit
jantung
Suntikan depo
tidak akan mengganggu penyusuan bayi.
PIL PERANCANG KOMBINASI
Ini
merupakan cara yang efektif dan 'reversible', boleh digunakan oleh
wanita tanpa had umur. Namun, pil ini hanya efektif sekiranya pil dimakan
mengikut jadual.
Antara kesan
sampingan pil ini ialah sakit perut, pendarahan, sakit kepala, gangguan
emosi.
Contoh pil
kombinasi ialah mercilon, marvelon, loette, lindynette, meliane, microgynon 30,
novynette, oralcon, rigevidon, trinordiol, yasmin
Anda tidak digalakkan mengambil pil perancang sekiranya:
1) merokok
2)penyakit kencing
manis
3)penyakit darah
tinggi
4)pendarahan faraj
yang belum diketahui puncanya
5)penyakit hati
6)migraine
7)pernah mengalami
darah beku dalam salur darah
8)pernah mengalami
kanser payudara
9)mengambil sesetengah
antibiotik, antifungal, ubat sawan, charcoal, ubat pelawas yang mungkin
mengurangkan reaksi ubat tersebut
Sekiranya anda
menggunakan pil perancang, dapatkanlah nasihat daripada doktor
anda. Pastikan anda berjumpa doktor setiap bulan untuk memastikan
penggunaan pil sesuai untuk anda. Jangan sesekali melalui jalan pintas dan
membeli pil perancang di kedai tanpa nasihat doktor. Bincanglah dengan
doktor sekiranya ada masalah sebelum menukar ke pil yang lain.
Cara-cara lain yang tidak kekal:
1)Kondom lelaki
atau wanita
2)Spermicide seperti
gel yang disapu pada faraj untuk mengurangkan aktiviti sperma
3)Vaginal ring
mengandungi hormon
4)Patch mengandungi
hormon, perlu ditukar setiap minggu
Cara-cara lain yang kekal:
1)"Bilateral
tubal ligation" iaitu tiub fallopian yang menyambungkan kilang telur dan
rahim dipotong
2)"Vasectomy"
bagi kaum lelaki
*Perbezaan harga:
Kondom: Rm1-2 x 12
= Rm12-Rm24 sebulan
Pil perancang:
Rm10-Rm60 sebulan bergantung pada jenis pil
Suntikan depo: Rm45
setiap 3 bulan iaitu Rm15 sebulan
IUCD Cu250: Rm130
untuk jangkamasa 3 tahun iaitu Rm3.60 sebulan
(IUCD Mirena lebih
mahal)
Implanon: Rm535
untuk jangkamasa 3 tahun iaitu Rm14 sebulan
*Harga hanya
anggaran sahaja, bergantung pada ketetapan klinik masing-masing.
Pilihan bergantung
pada anda. Marilah kita sama-sama membendung pembuangan bayi yang tidak
bersalah. Jadilah ibubapa yang bertanggungjawab dan rancanglah keluarga
anda mengikut kemampuan anda. Jadikanlah setiap anak itu anak yang
diingini.
Sumber: Dr.Lina Aesthethic Blog